Tuesday, November 1, 2016

DATO' DR MD FADZILAH KAMSAH DAN FAIZAL YUSUP BERGABUNG!

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Bismillah...


Gabungan FY bersama Dato' Dr Md Fadzilah Kamsah bermula dengan Seminar Fusion gabungan antara seminar motivasi dan seminar pelaburan saham. Sebagai tanda permulaan gabungan kami ini, Seminar 2 hari yang akan dijalankan dalam dua siri November ini akan diberikan harga promosi, harga runtuh yang tak masuk akal iaitu dengan yuran sebanyak RM290 sahaja. RM290 untuk seminar 2 hari bersama FY juga DMFK. Jangan tak percaya namun harga promosi ini ia hanya untuk 2 siri seminar itu sahaja. Kemudian ia terhad kepada 80 orang peserta sahaja bagi setiap sesi. 

Siri 1 ialah pada 15 dan 16 November 2016
Siri 2 ialah pada 22 dan 23 November 2016

Bertempat di DIFKA, Tingkat 1, No 63. Jalan 7/7C, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.



Pada hari pertama DMFK akan memberikan pengisian menerobos potensi diri serta rahsia-rahsia membuka pintu rezeki dan pada hari kedua pula FY akan akan menyampaikan rahsia-rahsia menjana keuntungan melabur saham di Bursa Malaysia.

Seminar ini bukan hanya sesuai untuk mereka-mereka yang mencari pendapatan tambahan, bakal pesara, mereka-mereka yang mengambil VSS, MSS dan lain lain tetapi sesuai juga kepada mereka-mereka yang ingin mencari rahsia bagaimana untuk membuka pintu rezeki yang selama ini tersembunyi, mereka yang ingin meninjau alternatif menjana pendapatan pasif dari pelaburan saham, mereka yang zero dalam ilmu pelaburan saham dan sebagainya.

Ini kerana bukan mudah untuk memula dan menjalankan perniagaan dalam situasi ekonomi negara yang kian mencabar dewasa ini. Banyak perniagaan yang bungkus dan gulung tikar. Ini terjadi kerana kurang ilmu pengurusan perniagaan, kenaikan kos bahan mentah, kenaikan kos sewa premis dan pelbagai sebab lagi.

Kemudian sebagai jalan mudah ramai yang terpedaya dengan skim cepat kaya yang tumbuh bagai cendawan menggunakan pelbagai nama dan kaedah demi mengabui orang ramai dengan janji-janji manis dan menarik namun itu semua palsu semata-mata.

Pintu rezeki melabur d Bursa Malaysia adalah satu pelaburan dimana anda menggunakan sedikit modal untuk membeli dan memiliki sebahagian dari syarikat yang tersebarai di Bursa Malaysia. Bilamana syarikat itu menjana keuntungan maka kita juga akan mendapat keuntungan dalam bentuk dividen mahupun kenaikan harga saham syarikat tersebut di Bursa Malaysia memandangkan kita memiliki sebahagian dari saham syarikat tersebut. 

Apa yang penting ini bukan skim cepat kaya! Pelaburan saham di Bursa Malaysia ini disahkan undang-undang dan kerajaan Malaysia. Kemudian 73% daripada saham-saham yang tersenarai adalah saham-saham syarikat yang mempunyai status Syariah tersedia untuk kita buat pelaburan,

Jadi apa tunggu lagi? Seminar dua hari yang bernilai lebih RM1000 dijual pada harga RM290 sahaja! Rugi tak datang wo! Cepat daftar sekarang!

Hubungi En Shaiful di talian - 019 393 0317 seberapa segera kerana tempat adalah amat terhad!



Sekian dulu buat kali ini.

FY
www.faizalyusup.net

Monday, February 22, 2016

PENCIPTAAN MEMBAWA REZEKI

FORMULA RAHSIA MENJEMPUT REZEKI FY - PENCIPTAAN



 “Saya tak akan ikut laluan orang lain, saya akan lalu di tempat yang tidak pernah dilalui dan saya akan meninggalkan jejak".  

Muriel Strade

Semasa FY belajar  di Amerika Syarikat FY dapat lihat yang sekiranya mereka berkarya atau mencipta, mereka akan melakukannya ke tahap yang terbaik dan penuh dengan kualiti. Contohnya Philip H. Knight mencipta kasut Nike. Mereka menghabiskan banyak modal untuk Penyelidikan dan Pembangunan juga promosi. Mereka membuat kajian tentang bagaimana bentuk kaki seseorang itu, bagaimana berat badan seseorang itu mempengaruhi pergerakan, kajian kegunaan secara khusus dan sebagainya, kemudian mereka mencipta kasut yang begitu ringan, mempunyai banyak pilihan bukan sahaja dari segi saiz dan jantina pemakai tetapi juga dari segi kegunaan sama ada untuk berjalan, berlari, bermain bolasepak, tenis dan apa juga jenis sukan. Semasa buku ini ditulis empayar Nike bernilai kira-kira USD 100 Billion.


Dewasa ini penciptaan Facebook syarikat Sosial Media terbesar dunia tetapi tidak mempunyai sebarang content sekarang bernilai labih USD300B, Syarikat UBER taxi pula bernilai lebih USD60 Billion walaupun tidak memiliki satu teksi sekalipun, Syarikat AirBNB menyediakan homestay di seluruh dunia bernilai lebih USD25 Billion tetapi langsung tidak mempunyai satu property sekalipun. Dewasa ini pencipta di Barat hanya mencipta Aplikasi yang membawa manfaat kepada populasi dunia dan mereka mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda darinya. 

Begitu juga dengan Jepun, satu masa dahulu barangan keluaran Jepun dianggap seperti barangan yang  tidak bermutu dan murah, tetapi pada tahun 1946 sejurus selepas negara itu dibom oleh pihak bersekutu seorang pemuda berumur 25 tahun bernama Akio Murita telah memulakan perniagaan alatan elektronik bermodalkan pinjaman bank sebanyak USD500.00. Beliau bukan bersaing untuk pasaran di Jepun semata-mata tetapi beliau bersaing untuk mendapatkan pasaran global terutamanya pasaran Amerika Syarikat. Syarikatnya, Sony telah mengubah pandangan dunia. Apa yang dilakukannya ialah mengambil radio ciptaan barat yang besar pada masa itu dan mengecilkannya hinggalah menjadi “Walkman”Walkman berkualiti yang dicipta Sony menerjah ke setiap penjuru alam pada masa itu. Hinggakan kamus Oxford menerima istilah “walkman” ini sebagai satu istilah bahasa Inggeris. Anjakan paradigma berlaku pada seluruh rakyat jepun dan mereka mula mencipta barang-barang yang berkualiti dan murah hingga menjadikan negara mereka negara ekonomi terbesar dunia mengalahkan Amerika Syarikat. Sekarang kita boleh membeli palbagai jenis barangan rumah, barangan komersial, kenderaan dan sebagainya yang diakui berkualiti dari Jepun.

FY pernah menonton dokumentari tentang Akio Murita di televisyen. Untuk mencipta beliau menjaga  pemakanan hinggakan beliau ada seorang doktor yang digaji khas untuk tujuan ini. Setiap apa yang beliau makan akan ditimbang dan ditentukan. Disamping itu beliau menjaga kesihatan fizikal dengan melakukan senaman, berenang dan sebagainya. Katanya dengan berbuat demikian beliau akan mendapat  ilham untuk penciptaan yang seterusnya. Sampai begitu sekali.

Dalam Islam sendiri kalau kita makan walau sesuap yang haram maka selama 40 hari doa kita tidak akan dimakbulkan Tuhan. Teringat FY akan kisah Imam Shafie yang mempunyai  yang mempunyai memori fotografik. Maknanya beliau boleh mengingati setiap apa yang beliau baca / nampak. Pada suatu hari, sedang beliau berjalan dengan tidak sengaja beliau terpandang betis seorang wanita. Maka entah macamana beliau langsung tidak dapat menghafal sepanjang hari itu. Beliau sentiasa memastikan yang lembaran kain putih dalam diri beliau tidak terconteng bagi membolehkan beliau menghafal dan melakukan tugas harian dengan keberkatan Tuhan. Kadang-kadang FY tertanya-tanya juga kalau-kalau di zaman ini masih ada insan yang mempunyai kain putih yang benar-benar bersih di dalam diri mereka.

Kalau kita lihat dibidang sukan pula, Tiger Woods pemain golf nombor satu dunia dan Nicole David pemain remaja terbaik dunia dalam sukan skuash boleh dijadikan teladan. FY pernah terserempak dengan Nicol dan dia bukanlah seorang besar susuk tubuhnya tetapi bagaimanakah dia dapat mengalahkan pemain-pemain luar negara yang jauh lebih besar? Walaupun beliau sibuk dengan latihan namun beliau masih lulus peperiksaan SPM dengan cemerlang. Mereka berjaya kerana mereka gigih berlatih tanpa jemu hari-hari semenjak masih muda untuk menjadi yang terbaik. Kalau kita lihat apapun kejayaan dalam apa juga bidang tidak akan datang tanpa kegigihan. 

Kebanyakan filem-filem Barat yang mengambil masa lebih kurang dua jam itu pun dilakukan dengan penuh kualiti. Mereka mengambil unit-unit yang terbaik sebagai contoh unit lampu, unit kamera, unit grafik, unit “stunt”, unit muzik, pemilihan pelakon-pelakon, pengarahan, juru edit, juru suara dan penataan bunyi, unit “prop” , unit promosi dan sebagainya. Setelah semua yang terbaik ini dicantumkan maka barulah kita dapat menonton filem 2 jam tersebut. Demikianlah penciptaan mereka. Lihatlah kualitinya.

Dari kacamata mereka mereka bersaing dengan dunia. Mereka mengeluarkan yang terbaik untuk semua tidak kiralah dari bahan makanan, wayang, permainan video, barangan teknologi dan sebagainya. Ada juga ciptaan mereka yang tidak berkualiti tetapi promosi besar-besaran mereka dapat meyakinkan pengguna.

Walau siapapun anda, jadilah yang terbaik.
Abraham Lincoln

Tetapi kalau dibandingkan dengan ciptaan orang kita. Kita lebih suka membuat sesuatu itu dengan sambil lewa tanpa membuat kajian yang mendalam. Inilah sikap yang ada pada ramai. Sikap ini boleh dilihat dari hasil kerja orang kita. Dari cara bekerja, berpakaian, menulis, berjalan dan sebagainya. Semuanya main tangkap muat sahaja.

Sebagai contoh penjual makanan. Pada mulanya masakan mereka sedap dan dikunjungi ramai. Kemudian mereka mula memasak dengan sembil lewa kerana menyangka yang pelanggan akan tetap berkunjung ataupun apabila tukang masak bertukar, kualiti masakan mula menurun. Akhirnya tutup kedai. Itu belum cerita pasal aspek layanan.

Sepatutnya dari segi ini kita kena tiru cara Barat, iaitu mencipta yang baru dan kemudian menyesuaikan dengan perubahan selera pelanggan. Menambah menu masakan, mencantikkan kedai, meningkatkan promosi dan banyak lagi.

Kenapa FY huraikan pengisian penciptaan sebagai satu elemen penting dalam buku Tip Rahsia Menjemput Rezeki ini?



KEPENTINGAN PENCIPTAAN

Sebagai seorang Islam Allah Taala adalah Maha Pencipta, Allah mencipta segala apa yang ada di muka bumi ini malah segala apa yang ada di cakerawala hingga tak tercapai akal manusia untuk memikirkannya. PenciptaanNya serba sempurna, membawa manfaat kebaikan serta kesimbangan dalam kehidupan. Kita sebagai makhluk manusia juga dicipta Allah Taala dengan kekuasaan dan menurut kehendakNya.

Dalam hal ini manusia pula mencipta menggunakan semua sumber yang telah dicipta Allah di mukabumi ini. Pokok getah dijadikan tayar kereta, pokok dijadikan kertas, Tanah dan besi menjadi bangunan yang tinggi. Bulu binatang dijadikan pakaian dan sebagainya. Semuanya dicipta dengan setitik ilmu pengetahuan yang dikurniakan kepada manusia. 

Penciptaan manusia sejak dahulu hingga sekarang telah membawa kepada pembangunan, kemajuan dalam ketamadunan kemanusiaan. Semakin lama sains dan teknologi berkembang hingga tercipta pelbagai benda yang tak pernah terlintas dalam akal fikiran kita. Penciptaan kereta sejak zaman Henry Ford telah mengalami evolusi hingga ada yang mencipta supercars yang hebat sehingga kepada kereta yang boleh terbang. Penciptaan telefon oleh Alexander Graham Bell telah berkembang hingga menjadi smart phone yang serba canggih dengan pelbagai fungsi yang complicated.

Pun begitu penciptaan manusia serta tak sempurna dan punya kelemahan. Ada penciptaan yang membawa mudarat, ada yang tak berguna, ada yang hilang ditelan zaman dan sebagainya. Syarikat pengeluar filem Kodak contohnya yang satu ketika dahulu begitu gah akhirnya menjadi bankrap ditelan arus perubahan teknologi dunia. Syarikat Nokia juga menerima nasib yang sama.

Bolehlah dikatakan di sini yang Allah Taala suka kepada pencipta, suka kepada pencipta yang membawa manfaat kepada manusia yag ramai, suka kepada manusia yang punya sifat khalifah yang hidupnya untuk memakmurkan mukabumi ini. Jadi kita dah tahu yang ada ganjaran yang besar kepada orang yang membawa manfaat kepada yang ramai, lagi ramai lagi baik. Jadi di sini melalui huraian ini anda juga tahu yang penciptaan adalah satu elemen penting bagi tujuan membawa manfaat ini.

Mungkin anda akan berkata, semua benda telah dicipta dan tak ada apa lagi yang boleh dicipta. Itu jugalah yang FY katakan dahulu. Tetapi satu hari FY telah mengambil keputusan untuk menulis dan terus menulis dari sebuah blog kepada sebuah buku, sekarang sudah 11 buku diterbitkan dan ada 3 Ebook telah FY siapkan. Bukankah apa yang sedang anda baca ini juga satu penciptaan? Huruf-huruf yang disusun menjadi perkataan dan diolah menjadi ayat ini tidak wujud sebelum ini. Ia hanya wujud bila FY menulisnya kemudian memaparkannya di blog, FB di alam maya dan InsyaAllah menjadi buku satu hari nanti. Buku yang sebelum ini tidak terdapat dalam rak buku pada ketika ini akan berada di sana kelak. Ia bukan satu magik tapi ia memerlukan satu usaha yang gigih dan berterusan sehingga ia menjadi kenyataan. 

Kemudian FY mulakan seminar, kursus serta personal coaching bagi mendidik pelabur saham yang baru menjejakkan diri dalam pelaburan ekuiti di Bursa Malaysia. Semua ini membawa kepada ganjaran kewangan yang banyak memandangkan FY berpengalaman dalam bidang ini sejak 20 tahun yang lalu. Dalam hal ini carilah ilmu, carilah apa kebolehan dan kemahiran anda. Dari situ menciptalah produk atau perkhidmatan yang boleh membawa manfaat kepada khalayak.

Persoalan FY ialah adakah apa yang anda baca ni membawa manfaat kepada anda atau tidak?

Sekiranya ada maka FY yakin akan ada ganjaran rezeki buat FY kelak andai diizinkan Allah Taala baik rezeki yang kelihatan mahupun tidak. Royalti buku, jemputan ke seminar motivasi atau bicara buku, perubahan dan kefahaman kepada pembaca yang dijodohkan dengan buku ini adalah rezeki yang tersurat tetapi yang tersirat adalah kelapangan, anak yang sihat, ketenangan, kesihatan, ilmu pengetahuan yang lebih banyak lagi serta kurniaan-kurniaan yang tak nampak dek mata kasar. Itulah kelebihannya dalam perihal penciptaan yang membawa manfaat kepada yang ramai ini.

Kesimpulan dari semua ini sekali lagi FY tegaskan jadilah seorang pencipta, menciptalah, produk atau perkhidmatan yang boleh membantu menyelesaikan masalah orang lain mahupun yang boleh membawa manfaat kebaikan dalam kehidupan mereka.

Sekian dulu buat kali ini.

Artikel ini dipetik dari Buku Formula Rahsia Menjemput Rezeki karya FY yang masih dalam proses penulisan.

FY
0166667430


FY @ Faizal Yusup telah menulis 11 buah buku motivasi dan novel antaranya Keluar Dari Tempurung, Berubah Sebelum Rebah, Anda Yang Baru juga Ebook-ebook pelaburan saham memandangkan beliau seorang Remisier yang menjawat jawatan Naib Presiden dalam Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia. Beliau juga merupakan speaker bagi program Smart Invest anjuran Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Thursday, February 18, 2016

MENIRU MODEL KEJAYAAN ORANG LAIN


Nak jadi kaya dan berjaya di dunia dan di akhirat?
Betulkan dalaman dahulu, InsyaAllah luaran akan menyusul.

TIP RAHSIA MENJEMPUT REZEKI FY - KONSEP DUPLIKASI

Dalam kehidupan ini kita sering bertemu dengan orang kaya dan berjaya tak kiralah apa bangsa sekalipun. Kita nampak mereka merupakan pangarah syarikat, CEO, mereka punya perniagaan yang besar, harta yang banyak, rumah agam yang serba mewah, kereta yang canggih dan terkini dan sebagainya. Kalaupun kita tak bertemu dengan mereka secara 4 mata tetapi kita ada terbaca mengenai mereka. Banyak penulisan autibiografi tentang kejayaan mereka dipaparkan di sana sini. Kejayaan Syed Mokhtar Al Bukhari contohnya, kejayaan Tony Fernandes dengan Air Asianya, kejayaan Bill Gates, si OKU Mr Lee Thaim Wah yang belajar setakat darjah 6 dan tidak boleh bertutur bahasa Inggeris tetapi berjaya menjadi jutawan memiliki francais Speedmart 99, Datuk Seri Vida Qu Puteh atau siapapun juga sebenarnya boleh kita pelajari dari mereka.

Ceritanya di sini dalam hal ini ialah untuk kita belajar dan tiru model mereka. Tiru formula kejayaan mereka. Bagaimana sifat dan tingkahlaku mereka, apakah prinsip yang mereka pegang, apakah yang mereka lakukan saban hari, dengan siapakah mereka berkawan, bagaimanakah model perniagaan mereka dan sekiranya mereka beragama Islam apakah amalah ibadah yang mereka lakukan dan sebagainya. Semua ini perlu kita kaji dan teladani andai kita mahu menjadi orang yang berjaya sepertimana mereka.

Mungkin anda akan berkata yang contoh ikon yang FY nyatakan tadi terlalu besar dan terlalu tinggi untuk dicapai. Baiklah apa kata anda perhatikan di sekeliling anda. FY pasti ada orang yang berjaya di situ. Mereka mungkin bos anda, kawan anda, bapa saudara anda, sepupu anda atau lebih dekat lagi mereka mungkin bapa anda atau adik beradik anda! Bukankah lagi dekat lagi mudah untuk kita mendalami mereka, mengetahui dan memahami akan model kejayaan yang mereka pegang. Kalau kita bermerah mata dan beriri hati melihat kejayaan mereka maka tak ada apalah yang akan dapat kita belajar. Malah kalau kita take for granted kehadiran mereka samalah juga hasilnya. Bukanlah lebih baik kita buka mata hati dan bertanya akan apakah rahsia kejayaan mereka! FY yakin mereka akan rasa bangga dan akan membantu anda dengan menjawab semua soalan-soalan anda itu secara jujur dan ikhlas.

Sebenarnya kalau kita buat analisa secara individu, kita akan dapati yang kesemua mereka akan punya sifat, sikap dan prinsip diri yang lebih kurang sama, yang tak sama mungkin bidang perniagaan yang mereka jalankan. Mereka merupakan orang yang gigih berusaha tidak pernah kenal putus asa. Kegagalan tidak menghalang mereka malah mereka menjadikan kegagalan sebagai satu motivasi untuk meneruskan usaha. Mereka menyelesaikan masalah ramai orang dengan perniagaan yang mereka jalankan atau dalam ertikata lain mereka membawa manfaat kepada yang ramai. Mereka tidak membuang masa malah tahu membahagikan masa secara optimum, mereka bersifat terbuka, mempunyai pelbagai ilmu pentadbiran perniagaan dan sebagainya. Semua sifat positif inilah yang membawa kejayaan kepada mereka.

Bagaimana pula dengan kita? Bukankah kita tak punya kebanyakan dari prinsip yang ada pada mereka? Kita nak kaya dan berjaya tapi kita duduk tak buat apa-apa. Kita bercakap tentang impian menjadi kaya tapi kita tak berusaha ke arah itu. Kita kuat melepak dan bersantai, kita rasa cukup apa yang kita ada. Kita mudah putus asa. Kita mengalah sebelum berjuang. Kita tidak mencari ilmu. Kita beri sejuta alasan kenapa kita akan gagal dan sebagainya dan kita tak mahu melakukan perubahan ke arah kebaikan. Itulah perbezaan antara orang berjaya dengan orang yang gagal. Anda ingin berjaya? Saranan FY duplikasilah orang yang berjaya, tukarkan nilai dan prinsip negatif yang ada dalam diri kita itu kepada yang positif sepertimana yang ada dalam diri orang yang berjaya.

Kalau dalam perniagaan, konsep duplikasi ini boleh kita lihat dapat diaplikasikan dalam perniagaan Francais. Bukankah perniagaan francias mengunakan konsep yang FY nyatakan ini? Secret Recipe, Starbucks, Mc Donald’s, Shell dan sebagainya semuanya menggunakan konsep francais ini. Kalau kita masuk mana-mana restoran Mc Donald’s di dunia ni kurang lebih kita ada jumpa elemen-elemen yang sama. Hidangan makanan dan minuman yang sama, persekitaran dan peraturan yang sama. Pakaian dan layanan pekerja yang sama dan sebagainya. Yang berbeza cuma lokasinya. Inilah rahsia resepi kejayaan perniagaan Francais ini.

Satu tip perniagaan. Cuba lihat di daerah tempat anda tinggal. Manakah restoran yang paling maju di kawasan anda? Kalau ada katalah sebuah restoran nasi kandar yang hanya dibuka dari pukul 11 hingga pukul 4 sahaja dan bila dibuka orang yang beratur punyalah panjang, maka FY rasa ini adalah model perniagaan yang boleh dipertimbangkan. Kita cuma perlu tiru model mereka atau minta francais dari mereka cumanya kita perlu buka di lokasi yang lain, InsyaAllah FY yakin sepertimana kejayaan sistem Francais tu, kita juga akan berjaya kalau kena gayanya, kalau betul cara pengurusan dan pentadbirannya.  

Oleh yang demikian, walau kita berada dalam apa juga bidang sekalipun, maka cuba lihat siapakah yang kaya dan berjaya dalam bidang yang kita ceburi itu. Kemudian kita belajar dan kita tiru cara mereka. Sepertimana kejayaan model sistem francais  yang telah FY terangkan tadi maka FY yakin duplikasi yang kita lakukan terhadap individu yang berjaya juga boleh membawa hasil yang lebih kurang sama juga.

Kalau dalam bidang yang kita cebur itu pula tak ada sesiapa yang boleh dijadikan ikon, tiada siapa yang boleh kita rujuk, mungkin tiba masanya untuk kita beralih arah dan tukar bidang kerjaya yang kita lakukan selama ini.

Sekian dulu buat kali ini.

Artikel ini dipetik dari Buku Tip Rahsia Menjemput Rezeki karya FY yang masih dalam proses penulisan.

FY
0166667430
www.faizalyusup.net

FY @ Faizal Yusup telah menulis 11 buah buku motivasi dan novel antaranya Keluar Dari Tempurung, Berubah Sebelum Rebah, Anda Yang Baru juga Ebook pelaburan saham memandangkan beliau seorang Remisier yang menjawat jawatan Naib Presiden dalam Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia. Beliau juga merupakan speaker bagi program Smart Invest anjuran Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Wednesday, February 17, 2016

KEDEKUT DAN BERJIMAT MENJADIKAN KITA KAYA?


TIP RAHSIA MENJEMPUT REZEKI FY – BERSEDEKAH DAN BERSIFAT PEMURAH

Tip kali ini pula ialah berkenaan dengan bersedekah dan bersifat pemurah dam engungkai rahsia menjemput rezeki.

Sedekah adalah satu proses yang berlaku buat jangkamasa yang lama. Kebiasaan memberi yang diterapkan oleh ibu bapa akan menyebabkan si anak mudah untuk memberi iaitu bersedekah kepada mereka yang memerlukannya. Lama kelamaan si anak akan menjadikannya sebagai satu tabiat dan menjadikan dirinya seorang yang pemurah. Kalau ada sedikit maka sedikitlah yang kita sedekahkan dan bila dah ada banyak semakin banyaklah yang boleh disedekahkan. Sekali lagi FY tegaskan yang ianya merupakan satu proses yang panjang. Ia perlu dimulakan dan diulang-ulang berkali-kali hingga ia menjadi prinsip yang terbentuk dalam diri.

Sifat ini tiada pada semua orang kerana ada orang yang begitu berkira. Setiap sen yang dibelanjakan dikira hingga ke sen yang terakhir. Prinsip menjadi kaya dengan sifat kedekut adalah satu prinsip yang walaupun logik di pada mata kasar tapi hakikatnya ia tidak dari sudut Islam mahupun kepada mereka yang memahami. Bagi saya kedekut bukanlah sifat yang baik bagi tujuan melimpahkan rezeki.

Di sini kita boleh lihat ramai orang terkaya di dunia seperti Bill Gates, Warren Buffet, malah Robert Kiyosaki penulis buku Rich Dad Poor Dad mahupun Stephen Covey penulis 7 Habits of Highly Effective People juga menegaskan kepentingan untuk mejadi pemurah, untuk membantu dan membawa manfaat kepada orang lain. Para Ustaz jangan katalah, pengisian mengenai menjadi seorang pemurah untuk berzakat, bersedekah, berwakaf dan menginfaqkan harta sering kali kita dengar dalam ceramah-ceramah mereka.

Ada yang berkata “nanti bila aku dah kaya aku sedekahlah” dan ada pula yang takut untuk mengeluarkan sedekah kerana takut miskin.

Dalam konsep bersedekah ini, sedekahlah kepada yang dekat barulah kepada yang jauh. Bersedekah kepada keluarga dan saham saudara adalah lebih baik kerana kita akan mendapat dua pahala. Satu pahala sedekah dan satu lagi pahala mengeratkan silaturrahim. Kemudian janganlah sibuk untuk bersedekah ke kamboja dan palestin sedangkan kita tahu ada orang miskin di belakang rumah kita.

Kalau hendak bersedekah, kaedah berikut ini boleh digunapakai;

Gajah berilah lembu, lembu berilah kambing, kambing bagi ayam, ayam bagi belalang, belalang bagi semut. Inilah yang wajar.

Gajah yang berdiri di sebelah belalang, dia menggelakkan belalang yang bagi semut. Dia berlagaklah sebab dia bagi lembu yang besar. Ini riak namanya.

Yang jadi tak wajar ialah bila gajah beri semut. Ini kedekut namanya dan kalau kambing bagi gajah ini riak dan membawa mudarat namanya.

Ada diantara kita yang mempunyai sikap ingin membantu semua orang yang hadir dalam hidup mereka tetapi tidak menitikberatkan pada diri sendiri. Membantu hingga memudaratkan diri kita sendiri.

Ingin menjadi lilin yang membakar diri menerangkan hidup orang lain. Mereka yang seperti ini adakalanya berada dalam keadaan tertekan tetapi terus-terusan membantu apa yang menjadi masalah ialah setiap bantuan dan senyuman itu akhirnya menjadi tidak ikhlas.

Meraka akan berkata “ Kenapalah orang tak faham saya? Saya tolong semua orang tapi orang tak pernah faham apatah lagi menolong saya?”.

Buat baik berpada-pada, jangan cuba menjadi juara kepada masalah orang lain sekiranya kita sendiri belum menjadi juara.

Sekian dulu.

Nota - Artikel ini dipetik dari buku Tip Menjemput Rezeki hasil tulisan FY yang masih dalam proses penulisan.

FY
016 6667430
www.faizalyusup.net 

FY @ Faizal Yusup telah menulis 11 buah buku motivasi dan novel antaranya Keluar Dari Tempurung, Berubah Sebelum Rebah, Anda Yang Baru juga Ebook pelaburan saham memandangkan beliau seorang Remisier yang menjawat jawatan Naib Presiden dalam Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia. Beliau juga merupakan speaker bagi program Smart Invest anjuran Suruhanjaya Sekuriti (SC). 

Monday, February 15, 2016

Masalah Budaya Orang Melayu

Masalah Budaya Orang Melayu



Nama pun melayu, itu yang sentiasa layu agaknya. Sepanjang kehidupan ini di negara ini kalau dibuat perbandingan dalam banyak segi lebih-lebih lagi dengan bangsa Cina maka kita akan dapat melihat perbezaan yang ketara. Meskipun tampuk pemerintahan dan politik di negara ini diterajui oleh orang melayu tetapi hakikatnya dari segi ekonomi, perniagaan, kewangan, pendidikan dan sebagainya mereka yang menguasai. Bolehlah dikatakan yang ekonomi mereka 3 kali lebih kukuh dari ekonomi kaum Bumiputera di negara ini.

Mereka menguasai rantaian perniagaan dari yang kecil hingga yang ke besar, pegangan saham, hartanah dan sebagainya semuanya dikuasai mereka. Mereka berniaga dalam pasaraya-pasaraya yang besar dan mewah sedangkan orang kita terpinggir berniaga di malam hari di gerai-gerai sementara yang terletak di uptown-uptown atau pasar-pasar malam di seluruh negara. Mereka tinggal di rumah-rumah besar dengan kenderaan mewah di daerah utama di tengah bandar tetapi orang kita pula tinggal di pangsapuri-pangsapuri kos rendah jauh di pinggir bandaraya.

Bila menjalankan perniagaan, bila kita memilih kontraktor melayu, maka kerja akan disiapkan dalam masa yang lambat, dengan kos yang lebih tinggi dan dengan kualiti yang lebih rendah kalau dibandingkan dengan bangsa Cina. Mana taknya, kerja yang dijalankan sedikit dah nak rehat, nak minum nak mc, nak cuti dan sebagainya. Pelbagai alasan yang dikeluarkan untuk tidak menyiapkan kerja tersebut. Bagi si Cina pula mereka faham yang masa itu emas. Mereka menyiapkan kerja dengan cepat dan tangkas supaya mereka punya masa untuk menjalankan kontrak kerja yang lain pula. Pengalaman menjadikan kualiti kerja mereka lebih baik, berkualiti dan terkini tidak seperti peniaga melayu yang statik dan tidak melakukan perubahan. Kos juga meningkat dengan kelambatan dalam menyiapkan kerja yang sepatutnya.

Mungkin ada yang marah dengan kenyataan FY ini tapi itulah hakikat yang dapat kita lihat dewasa ini. Pun begitu tidak dinafikan ada segelintir melayu yang sedar akan keadaan ini dan melakukan perubahan. Mereka inilah golongan yang berbeza, golongan yang berjaya.
Jadi, siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini?

Mungkin juga sistem “segregate and rule” atau asing dan perintah yang dipelopori penjajah dahulu telah membentuk generasi melayu yang kita lihat dewasa ini. Sistem yang mengasingkan kaum Melayu di kampung, kaum Cina di bandar menjalankan perniagaan dan kaum India di ladang-ladang menyebabkan keadaan ini berlaku. Waktu itu boleh dikatakan semua kontrak diberikan kepada kaum Cina, bank dibuka, pelbagai syarikat tumbuh bagai cendawan dan keadaan ini meningkatkan ekonomi mereka secara keseluruhannya. Kaum melayu pula ketinggalan, ketinggalan dari semua segi.

Kita dapat lihat dewasa ini tatkala kebanyakan anak muda orang melayu berada dalam sektor penggajian, orang Cina pula berada dalam sektor perniagaan dan kemahiran. Bapa makan gaji, anak belajar cari ijazah makan gaji juga dan begitulah seterusnya tidak seperti bangsa Cina yang menjalankan perniagaan dan anaknya pula meneruskan legasi dan mengembangkan perniagaan menjadi lebih besar dan kukuh.

Mungkin juga budaya orang melayu dengan kata-kata seperti “dah nasib badan...” atau bidalan “kalau rezeki secupak takkan jadi segantang...” mungkin menjadi pegangan kita selama ini menyebabkan kita jadi begitu?

Mungkin juga kita akan berkata kaum mereka berbeza. Mereka tak ada hukum hakam, duit adalah tuhan mereka. Mereka menipu dalam menjalankan perniagaan dan sebagainya, sebab itulah mereka boleh berjaya.

Kita boleh sahaja menuding jari menyalahkan orang lain, kita boleh sahaja mencari seribu alasan untuk menyokong kegagalan diri kita tetapi sedarilah yang mereka juga manusia. Mereka juga seperti kita punya tulang empat kerat, satu kepala, satu otak.

Sebenarnya salahnya terletak kepada diri kita sendiri. Kita yang tak menggunakan sumber yang dikurniakan kepada kita dengan secara yang optium. Kita tidak menggunakan masa dengan betul. Pengisiannya banyak yang merapu dan sia-sia. Kita lebih suka melepak dan membuang masa. Kita tak guna anggota dan pencaindera bekerja dengan gigih dan dengan cara yang berkesan. Kita tidak menggunakan otak untuk meningkatkan ilmu, berfikir akan kaedah-kaedah perniagaan yang boleh membawa kejayaan kepada kita.

Selain itu kebanyakan kita di negara ini merupakan penganut ugama Islam. Prinsip dalam Islam juga boleh membawa kejayaan baik di dunia mahupun di akhirat. Islam menganjurkan kemajuan dan kejayaan sepertimana yang kita lihat dalam sejarahnya. Ia menggalakkan kita menjadi insan yang rajin bekerja, insan yang membawa manfaat kepada yang ramai, insan yang mengeluarkan zakat dan membantu orang lain dan sebagainya. Dalam pada itu kita ada kuasa doa lagi. Doa adalah senjata orang Islam. Doa yang bersifat ghaib dan kalau kita percaya dengan kekuasaan Allah Taala, maka tiada sebab untuk kita gagal. Kita gagal kerana kita tak mencuba sedaya upaya, kita gagal kerana kita putus asa di tengah jalan.

Jadi dalam hal ini kita sebenarnya tak ada alasan. Kegagalan berpunca dari diri kita sendiri yang nak mudah, pemalas, tidak suka mencari ilmu, dengki dengan rezeki orang lain dan sebagainya. Ubahlah! Kalau orang lain boleh berjaya kenapa pula kita tak boleh berbuat demikian?

Setiap hari kalau kita ketuk pintu yang sama kita akan mendapat hasil yang sama. Apa kata hari ini kita ketuk pintu yang berbeza pula, InsyaAllah FY yakin hasilnya akan berbeza juga.


TIP RAHSIA MENCARI REZEKI YANG BERKAT

KEBERKATAN REZEKI


Kalau kita lihat sepanjang kehidupan, kita nampak yang orang kafir, orang jahat juga ramai yang kaya. Saya bukan ustaz jadi saya tak tahu apakah yang definasi yang boleh saya berikan untk orang sebegini. Apapun di sini dalam bab ini saya ingin menghuraikan perbezaan diantara orang Islam dan bukan Islam dalam aspek ini.

Kita punya usaha yang dan matlamat yang sama dalam pencarian rezeki lebih-lebih duit hingga ada yang memberikan definasi DUIT sebagai Doa, Usaha, Istiqomah dan Tawakkal. Bolehlah dikatakan betul namun demikian saya rasa susunannya ialah Usaha, Istiqomah, Doa dan Tawakkal. Maknanya di sini, kita jalankan usaha dengan gigih, Istiqomah atau berterusan. Setalah itu kita berdoa dan akhir sekali bertawakal dengan melepaskan segalanya kepada Allah Taala. Melakukan semua aspek inilah yang bakal membawa keberkatan kepada rezeki yang bakal kita terima itu.

Inilah kunci perbezaannya. Bagi yang tidak mengikut ajaran Islam ini maka mereka akan berusaha gigih siang dan malam untuk mencari duit. Objektif yang mereka fikirkan hanyalah duit, untuk menjadi jutawan dan sebagainya. Orang seperti ini ada segelintirnya yang sanggup melanggar hukum hakam asalkan objektif menjadi kaya tercapai. Menipu, mengambil rasuah, menjalankan kerja-kerja yang makruh dan haram semuanya boleh sahaja asalkan duit masuk ke dalam poket. Kata mereka Cash is King!

Bangun tidur pagi, duit dalam fikirannya, pergi kerja balik kerja, sambung pula buat kerja sampingan di sebelah malamnya pula duit juga yang dalam fikirannya. Akhirnya tidur tak cukup, kesihatan terganggu, perhubungan terjejas memandangkan kesempitan masa untuk berhubungan dan bersilaturrahim dan sebagainya.

Apa yang ada dalam kiraan mereka ialah usaha yang gigih dan berterusan tanpa mengira masa akan menjadikan mereka kaya dan berjaya namun demikian doa tak tawakkal atau penyerahan diri kepada Allah Taala langsung ke laut. Pada saya inilah yang akan membawa kepada ketidakberkatan dalam rezeki yang kita terima itu. Antara ciri rezeki yang berkat ialah walaupun rezeki itu sedikit tetapi ia mencukupi dan memadai dibandingkan dengan rezeki yang banyak tetapi tidak pernah mencukupi. Ada sahaja permasalahan yang berlaku dari segala sudut yang membawa kepada kecelaruan di jiwa.

Jadi dalam hal ini, seorang Islam mesti memasukkan prinsip Doa dan Tawakkal ke dalam formula pencarian rezeki semoga dengan itu ia akan membawa kepada keberkatan dalam rezeki yang kita terima lantas membawa kebaikan yang berpanjangan di dunia mahupun di akhirat kelak.