Friday, August 28, 2009

Sangkaan Kita

Ada diantara kita yang menyangka mereka boleh menjadi kaya dengan bermain golf kerana permainan ini dimainkan oleh orang-orang kaya dan dengan bermain golf mereka juga akan menjadi kaya kerana bertemu dengan jaringan kenalan orang-orang yang kaya.

Memang benar ia mungkin akan memperbesarkan jaringan kenalan kita namun jaringan yang dikenali itu hendaklah merupakan jaringan yang boleh memberikan keuntungan kepada kita. Bukan jaringan yang jauh tersasar dari apa yang kita sendiri lakukan dalam sistem ekonomi diri kita sendiri. Sebagai contoh kita bekerja makan gaji di sebuah syarikat swasta jadi apakah hasil yang akan kita dapat bila kita mengenali seorang datuk yang juga bekerja di sebuah jabatan kerajaan? Paling kuatpun kita mungkin boleh menggunakan pertolongannya untuk mendapatkan kerja baru bagi diri mahupun bagi keluarga kita.

Untuk menjayakan satu sistem ekonomi ia memerlukan sistem penawaran dan permintaan. Dalam ertikata lain, seandainya kita boleh menawarkan sesuatu yang dikehendaki oleh pihak yang satu lagi maka di sini barulah sistem ekonomi ini boleh berjaya dan digerakkan.

Seterusnya ada pula yang menyangka untuk menjadi kaya kita mesti melibatkan diri dalam politik dengan harapan kita akan dapat kontrak bernilai jutaan ringgit maka ramailah yang melibatkan diri dengan dengan politik bukan dengan niat utama untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara tetapi dengan niat untuk mendapatkan duit dengan cara yang mudah. Mendapatkan permit, lesen, AP dan kontrak yang kemudiannya dijual kepada orang lain untuk mendapatkan keuntungan atas angin. Ini kerana kita tak punya merit atau kepakaran untuk menjalankan kontrak yang ditawarkan kepada kita.

Kemudian ada juga yang menyangka yang untuk menjadi kaya kita mesti melibatkan diri dengan kumpulan kongsi gelap dan sebagainya. Kita menyangka yang dengan melibatkan diri dengan kongsi gelap kita akan selamat dan akan dapat melibatkan diri dengan pelbagai urusniaga perniagaan yang adakalanya menyimpang jauh dari norma perniagaan yang halal dengan meminta wang perlindungan, memeras ugut dan sebagainya.

Tak kurang juga yang menyangka menjadi pihak yang berkuasa akan membolehkan diri menjadi kaya kerana boleh menggunakan kuasa itu untuk mendapatkan rasuah.

Banyak lagi sangkaan kita mengenai isu ini namun semua ini hanyalah palsu belaka dan ternyata lambat laun akan meleset.

Sebenarnya tiada jalan mudah untuk berjaya melainkan dengan usaha yang gigih dan berterusan dan sebagai seorang Islam mempercayai yang rezeki itu adalah hak milik mutlak Allah Taala dan ianya terpulang kepadaNya untuk mengurniakan rezeki itu kepada sesiapa juga yang dikehendakiNya.

Petikan dari buku Aku Yang Senang