Sebenarnya sebagai seorang melayu, dalam diri kita ini terdiri dari 3 pengisian utama yang membentuk diri kita. Ada segelintir yang menyedarinya namun ramai yang tidak. Kita memasukkan pengisian ke dalam diri dan pengisian ini lambat laun membentuk diri kita sebagaimana yang anda kenali sekarang. Ia bertindak menentukan tindakan dan budi bicara kita dalam membuat keputusan kehidupan.
Pengisian utama yang saya perkatakan ialah ;
Pengisian Melayu
Pengisian Barat dan
Pengisian Islam
Pengisian yang pertama ialah pengisian Melayu.
Pengisian melayu adalah pengisian yang kebanyakannya melibatkan adat resam yang telah ada sejak zaman dahulu lagi. Baik Adat Temenggung mahupun Adat Pepatih. Kalau tidakpun ia mengikuti peraturan zaman animinism yang mengikut peraturan hutan. Kepercayaan tahyul dan khurafat yang masih tumbuh segar dalam masyarakat sehingga kini.
Pengisian ini pula diteguhkan dengan majalah-majalah dan cerita-cerita hantu yang masih berleluasa di negara ini sejak dua menjak ini. Pada saya semua perkara ada fasanya dan fasa hantu dalam masyarakat negara ini juga akan habis fasanya cumanya selagi ada peminat yang meminatinya dan selama ada lagi jenis-jenis hantu yang ingin dipertonjolkan penerbit maka ia akan terus berada dalam media massa, filem dan drama di negara ini. Fasa ini mengambil masa yang agak lama kerana satu sebab sebenarnya. Sebabnya hanya di negara ini terdapat pelbagai jenis hantu. Beribu jenis kalau dikira agaknya. Hantu Kum-Kum, Hantu Galah, Hantu Bungkus, Pocong, Pontianak, Jembalang, Jerangkung, Momok, Jin, Zombie dan sebagainya.
Apapun saya yakin satu hari pastinya mereka akan kehabisan idea hingga tiada lagi hantu yang hendak diceritakan. Lepas itu tak tahulah saya, fasa apa pula yang akan dimasuki oleh dalam perkembangan tamadun kita ini. Apapun saya harap ia akan memasuki fasa tamadun yang memberi semangat kepada rakyatnya dan bukannya sesuatu yang sia-sia, membuang masa dan melalaikan.
Pengisian yang kedua ialah pengisian Barat.
Pengisian Barat ini telah lama wujud dan bertapak semenjak negara ini dijajah dahulu hinggakan kurikulum pendidikan negara ini juga dipelopori oleh pengisian Barat yang bersifat keduniaan. Tanpa kita sedari dengan pengisian inilah kita dididik sejak dari kecil hinggalah meningkat dewasa. Ia bermula sejak kita di bangku sekolah lagi. Teringat saya di sekolah rendah dahulu uniform yang dipakai hanya dengan seluar pendek dan perempuan pula memakai penaform atau gaun yang masih lagi dipakai oleh kaum bukan melayu untuk ke sekolah sehingga ke hari ini.
Pengisian-pengisian ini kemudiannya diperkukuhkan oleh media massa yang dikuasai Barat. Baik di Internet, Radio, Televisyen, Filem atau dimana sahaja infomasi yang kita baca mahupun dengar boleh dikatakan semuanya datang dari sumber Barat. Bukankah lambat laun pengisian ini akan membelenggu dan menguasai minda orang melayu di negara ini?
Contohnya mereka mempromosikan hiburan maka orang kita begitu suka dengannya hingga apa juga genre hiburan yang diperkenalkan akan diikuti dan ditiru oleh orang kita. Rock, Pop, Alternative, Jazz, Fusion, Rap, Underground, Skunk, Hip Hop atau apa sahaja semuanya pasti akan ditiru. Salah satu sifat manusia ialah ia mudah bosan, selepas bosan dengan yang satu maka pastinya ada satu lagi yang bakal dicipta dan begitulah keadaan yang seterusnya. Konsert Justin Bieber yang penuh baru-baru ini cukup untuk mengesahkan semua ini.
Kemudian tatkala mereka mempromosikan sukan bolasepak maka orang kita menyokongnya hingga boleh dikatakan semua orang, baik anak kecil remaja hinggalah ke peringkat dewasa yang mempunyai pasukan yang akan disokongnya.
Ketiganya pengisian Islam.
Pengisian Islam dari segi sejarahnya datang dalam kurun ke 13 atau 14 Masehi mungkin dibawa oleh saudagar-saudagar Arab yang singgah berniaga di rantau ini atau mungkin juga secara khususnya untuk berdakwah.
Pengisian Islam ini diterima baik oleh sultan-sultan melayu terdahulu jadi boleh dikatakan semua orang melayu menerima ugama Islam kerana patuh pada sultannya dan takutkan daulat. Walhal pada masa itu kebanyakan mereka berugama Hindu.
Kemasukan pengisian Islam ini telah menyebabkan kalau di zaman 70 an pakaian yang ketat dan terdedah, hidup dalam pergaulan bebas namun ia telah lambat laun berubah kerana dewasa ini ramai yang telah semakin faham akan hukum hakam Keislaman ini. Dewasa ini kita boleh lihat lebih ramai yang bertudung dan menutup aurat.
Kemudian kita diisi pula dengan pengisian yang lain contohnya pengisian Hindu yang diterapkan oleh Bangsa India, juga pengisian bangsa Cina dan sebagainya. Namun begitu pengaruhnya tidaklah begitu besar.
Contohnya kalau kita hendak minum maka pengisian Barat mengatakan kita boleh minum secara bebas apa juga yang kita mahu minum tak kira halal mahupun haram. Begitu jugalah sebenarnya pengisian melayu. Untuk minum ia tak punya ketetapan yang jitu untuk dijadikan panduan dan ikutan. Ia tak seperti pengisian Islam yang mana kalau nak minum kita perlu pastikan air itu halal, minum duduk, berdoa, minum sekurang-kurangnya tiga teguk, jangan bernafas di dalam air minum tersebut dan sebagainya. Itulah sunnah Nabi SAW. Itulah kelebihan Islam. Ia serba lengkap dan merangkumi semua perkara dalam kehidupan ini.
Oleh sebab apa yang telah saya huraikan tadi maka kita boleh lihat Cikgu Syida yang memakai tudung tetapi menonjolkan dirinya dengan miming, kita juga boleh lihat Yuna yang memakai tudung tetapi menyanyi, kita boleh lihat mereka yang bertudung tetapi terdedah auratnya di sana-sini, kita boleh lihat mereka yang berbaju kurung tidak bertudung, kita boleh melihat orang melayu bermata biru, berambut karat yang mengatakan diri mereka baik, beriman dan sebagainya.
Kita juga boleh lihat mereka yang solat tidak tinggal tetapi percaya kepada hantu, menjadi guru ugama tetapi mencabul mahupun membunuh anak muridnya, haji dan hajjah yang pendendam serta tidak ikhlas dalam perbuatannya, mereka yang Islam tetapi gay, mereka yang mengambil haram sebagai haram di sesetengah tempat tetapi haram sebagai halal di tempat yang lain dan begitu jugalah sebaliknya.
Inilah masalahnya. Sebenarnya terdapat satu konflik pengisian nilai yang ketara dalam pembentukan diri kita.
Kesimpulan yang ingin saya sampaikan dalam huraian ini ialah ;
Kebanyakan kita memasukkan kesemua pengisian ini ke dalam diri umpama rojak. Ia masuk tidak berstruktur dan bercampur baur. Ini menyebabkan tindakan sesetengah kita ada yang mengikut Islam, ada yang mengikut Hindu ada yang mengikut Melayu dan Barat. Kita pula tak punya cukup ilmu pengetahuan untuk memahami, membuat perbandingan apatah lagi memisahkannya.
Perbezaan pengisian dalam diri ini jugalah yang menyebabkan orang kita tak dapat bersatu disebabkan oleh perbezaan pendapat dan ideologi walhal hakikatnya kesatuan itu ada dalam Islam disebabkan oleh ketetapan hukum hakam di dalamnya.
Dalam hal ini pada saya ilmu pengetahuan amat penting kerana hanya dengan memasukkan ilmu pengetahuan dalam diri sahajalah maka kita akan dapat memisahkan kesemua perbezaan, persamaan mahupun pengisian yang bertindan ini secara yang objektif untuk kita meneruskan kehidupan agar kehidupan kita lebih lancar dan mudah dengan kefahaman yang saya katakan tadi.
Persoalannya hingga kini berapa banyak pengisian melayu yang ada dalam diri anda, berapa banyak pula pengisian Barat mahupun pengisian Islam yang telah ada bersarang dalam diri yang menentukan tidak tanduk diri kita? Oleh yang demikian, saranan saya cuba keluarkan apa yang telah anda pelajari selama hari ini dan masukkan ia semula dengan cara yang berstruktur dan tersusun.
Ketahuilah pengisian Melayu, Barat seta yang lainnya bersifat sekular keduniaan sedangkan pengisian Islam bersifat dunia dan akhirat. Ia dua perkara yang berbeza.
Ketahuilah juga yang pengisian sekular adalah pengisian keraguan yang cuba mencari kebenaran sedangkan pengisian Islam adalah pengisian kebenaran yang tiada keraguan.
Fikir-fikir dan terapkanlah semua ini ke dalam hati anda. Nanti anda akan memahami.
Sekian.